Banyak benda berlaku dalam tahun ini. Aku dinaikkan pangkat, kemudian memilih untuk berhenti setelah merasakan bebanan di atas bahu yang memberat tidak lagi tertanggung; makanya aku perlu mula dari bawah semula. Ya, aku lepaskan pekerjaan yang satu masa dulu aku cintai dengan sepenuh hati.
Inikah impian aku? Sejujurnya tidak.
Aku hanya seorang perempuan yang memiliki impian yang sederhana. Tapi tetap saja aku rasa gagal, cuma tahu runtuhkan apa yang aku bina bertahun-tahun dan sabotaj diri sendiri atas alasan ingin melindungi diri. Aku tidak pernah rasa begitu kecundang.
Adakah aku jujur menjaga keamanan diri aku, atau hanya membataskan diri dari tumbuh dan menghadap segala kesusahan? Sedangkan aku tahu, aku cuma lari dari masalah yang tidak akan pernah habis dan cuba mencari ruang untuk menenangkan diri dari rasa takut. Takut akan segala hal yang akan berlaku, mungkin berlaku atau takkan berlaku langsung.
Lucu. Hanya pada penghujung tahun di usia ini, aku baru sedar yang ada sebahagian dari luka masa kecil masih lagi belum sembuh. Setelah bertahun-tahun hidup dalam jasad yang sama, yang paling tahu akan segala rahsia dan yang paling bising di kepala, ternyata masih tidak mampu melahirkan secebis rasa percaya dan mengenal diri sendiri. Perjalanan ini terasa sunyi.
‘Awak mesti boleh punya, percaya pada diri.’
Hinggalah petang tadi, bekas ketua di tempat kerja lama yang aku hormati menitipkan pesanan ini. Aku rasa sebak sendiri. Dada terasa lapang, dan bahu mula ringan.
Aku mahu hidup semula, menghadapi segala masalah yang dihidangkan di hadapanku dan berbahagia dengan apa yang aku ada. Mungkin masalahnya bukan terletak pada pekerjaan yang tidak lagi mengujakan, atau kenderaan yang tidak selesa dan berstatus, pencapaian yang tidak membanggakan atau wang yang menggunung; tapi rasa syukur yang terhakis dan kedegilan hati dari menerima takdir yang tertulis.
Ada banyak benda untuk aku syukuri hari ini. Salah satunya mampu memilih diri sendiri tanpa mengabaikan orang lain, dapat melihat dan mencium mak setiap hari, memandu kereta aku sendiri, mampu menyelesaikan masalah di tempat kerja, tinggal di sebuah negara yang cukup cantik di mata ini dan sentiasa cuba menjadikan tempat di mana saja aku diami sebagai tempat yang lebih baik.
Salah satu cara untuk mencintai apa yang aku lakukan sekarang adalah dengan menulis. Ya, menulis! Menulis apa yang aku berjaya lakukan dengan baik atau salah di tempat kerja, apa yang aku belajar darinya dan lihat sejauh mana aku boleh tumbuh di ‘pasu’ baru ini, kerana apa yang penting bukanlah jenama dan warnanya, tapi baja dan tanah.
Semoga impian aku untuk menjadi pekerja yang baik dimakbulkan Tuhan dan mampu memberi manfaat pada orang di sekeliling.
They search, they ache, and in the quiet loneliness of their heart, they finally realise: The love they've been searching for was never truly gone. It lives in them, buried deep inside, in the way they think, in the way they love.
This too, shall pass.

Comments