Adakah itu bermakna kalian jujur menjaga keamanan diri, atau hanya membataskan diri dari tumbuh dan menghadap segala kesusahan? Walaupun kalian tahu, kalian cuma lari dari masalah yang tidak akan pernah habis dan cuba mencari ruang untuk menenangkan diri dari rasa takut. Takut akan segala hal yang akan berlaku, mungkin berlaku atau takkan berlaku langsung.
Lucu. Hanya pada penghujung tahun di usia ini, aku baru sedar yang ada sebahagian dari luka masa lalu masih lagi belum sembuh. Setelah bertahun-tahun hidup dalam jasad yang sama, yang paling tahu akan segala rahsia dan yang paling bising di kepala, ternyata masih tidak mampu melahirkan secebis rasa percaya dan mengenal diri sendiri. Perjalanan ini terasa sunyi.
‘Awak mesti boleh punya, percaya pada diri.’
Hinggalah petang tadi, bekas ketua di tempat kerja lama yang aku hormati menitipkan pesanan ini. Aku rasa sebak sendiri. Dada terasa lapang, dan bahu mula ringan.
Aku mahu hidup semula, menghadapi segala masalah yang dihidangkan dan berbahagia dengan apa yang aku ada. Mungkin masalahnya bukan terletak pada pekerjaan yang tidak lagi mengujakan, atau kenderaan yang tidak selesa dan berstatus, pencapaian yang tidak membanggakan atau wang yang menggunung; tapi rasa syukur yang terhakis dan kedegilan hati dari menerima takdir yang tertulis.
Dalam masa yang sama, aku tidak menyesal dengan keputusan yang aku buat. Tiada tempat yang pernah kita pilih untuk tinggal terlalu buruk, melainkan untuk belajar dan berkembang. Jika sampai masanya untuk pergi, itu bermakna rezeki kita juga sudah tamat, dan hanya saja kita berjaya mencari ‘pasu’ yang sedikit lebih besar. Adakah pasu lama itu tidak cukup baik? Tidak. It serve its purpose for another seedling. We simply outgrew it.
As long as aku dapat melihat dan mencium mak setiap hari, memandu kereta aku sendiri, mampu menyelesaikan masalah di tempat kerja, tinggal di sebuah negara yang cukup cantik di mata ini dan sentiasa cuba menjadikan tempat di mana saja aku diami sebagai tempat yang lebih baik, I think it’s not that bad.
Salah satu cara untuk aku mencintai apa yang aku lakukan sekarang adalah dengan menulis. Ya, menulis! Menulis apa yang aku berjaya lakukan dengan baik atau salah di tempat kerja, apa yang aku belajar darinya dan lihat sejauh mana aku boleh tumbuh di ‘pasu’ baru ini, kerana apa yang penting bukanlah jenama dan warnanya, tapi baja dan tanah. It helps me to aware that I’m doing my best for this job too.
Sehingga aku menemui pasu baru yang lebih besar agar aku mampu tumbuh mengikut apa yang direncana Tuhan dan bersedia, aku ingin gembira dengan apa yang aku ada. Kerana sebahagiannya, merupakan doa-doa yang telah dimakbulkan Tuhan.
‘They search, they ache, and in the quiet loneliness of their heart, they finally realize: The love they've been searching for was never truly gone. It lives in them, buried deep inside, in the way they think, in the way they love.’
Moga tahun hadapan, lebih baik.
12 November 2025
Bulan lalu, cukup setahun usia pokok itu. Moga terus tumbuh dengan sihat :)




Comments