
"Tahu tak bintang dekat langit biru atas tu, umur dia berapa?"
Adra mengangkat kepala apabila soalan yang ditanya itu kedengaran menarik; bebas dari menggeliatkan jemari buat origami kucing dia tu.
Pen yang dipegang dibiarkan bergolek atas meja. Angin yang bertiup lembut cukup terasa apabila duduk di sudut balkoni bilik dengan pintu sliding door luas terbuka. Dari situ, terdengar sayup-sayup bunyi televisyen. Nia suka suasana tu. Sangat memenuhi ruang, katanya.
"Emm... Dua tahun?" Adra cuba nasib.
Nia tersengih. "Salah."
"Sebaya kita?"
Lagi lebar sengihan dia. "Tak la."
"Dah tu?"
"Bintang-bintang yang nampak paling terang tu kan, sebenarnya dari masa lalu. Cahaya yang kita tengah nampak sekarang, adalah cahaya dari masa lalu." Jelas Nia, sambil menunjuk bintang paling bersinar tu dengan jari telunjuknya.
Bulat mulut Adra membentuk huruf O. Kagum. "Kalau bintang ada usia yang spesifik, mesti diaorang dah tua, kan?" Polos dia bertanya.
Nia mengangguk mengiakan. “Dah seratus tahun dah pun!” Jarak sebuah bintang dari bumi adalah 100 tahun cahaya. Makanya, cahaya yang datang dari bintang memerlukan sekitar 100 tahun untuk sampai ke bumi.
Masing-masing berlari anak ke pagar kaca balkoni menikmati angin malam dan bintang yang berterabur di dada-dada langit. Latihan matematik atas meja yang bersepah dengan buku dan kucing separuh nak jadi ditolak tepi dulu.
"Cantik, kan?"
"Cantik!" Adra menoleh ke sebelah. Dia nampak mata Nia yang bersinar. Terlalu khusyuk memandang langit atas sana dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Yang pasti, impian itu membahagiakan. Jika Nia gembira, dia pun sama. “Nia, dah besar nanti awak nak jadi apa?”
“Saya nak buka kedai cenderamata yang dibuat dari origami.” Jawab anak kecil itu tanpa ragu-ragu, tulus dari hati.
Adra kemudiannya mengalihkan pandangan ke atas almari bewarna putih dengan ketinggian separas pinggang di dalam bilik yang jelas kelihatan dari luar walaupun tidak berlampu. Ada bintang yang berkelipan di dalamnya. Di atasnya pula terdapat tiga balang kaca yang sudah penuh dengan bintang kertas pelbagai warna. “Saya datang kedai awak hari-hari beli anting-anting corak bintang.” Dia kembali memandang langit biru setelah berbalas senyum dengan Nia.
💫
Jun 2007
Kebangkitan tidak mengenal sedia ataupun tidak.
"Origami merupakan satu teknik lipatan samaada menggunakan kain ataupun kertas. Satu hasil kerja yang sangat teliti dan halus pada pandangan. Tak semua orang boleh buat."
Dia mengetap bibir. Kata-kata itu seolah-olah mengejeknya. Adra angkat wajah. Memandang wajah yang tersenyum sinis itu dengan muka kosong. Hati yang ranap atas meja dipandang sekilas. "Aku akan cuba sampai boleh."
Kata-katanya membuatkan lima sekawan mengangkat kening. "Dah tu, takkan bentuk dah macam katak tertelan gula-gula getah pun masih nak cuba selamatkan?" Yang lain bukan main ketawa.
"Aku bukan nak rupa pun. Aku cuma nak kembalikan semula apa yang aku dah hancurkan... Macam dulu." Gumamnya perlahan. Lututnya kembali lemah. Semangatnya dah ranap macam kertas yang kena lenyek atas meja.
Dia menghela nafas. Apa yang dia buat ni semuanya satu kesilapan. Hanya membuang masa meminta pertolongan budak-budak yang bahkan tidak dikenali itu. Buat seketika, atas bumbung itu sunyi. Beg atas meja diseret sebelum disangkut atas bahu. Wajah mereka dipandang sekilas.
"God bless you." Dia memberi ucapan selamat sebelum berpaling. Satu-persatu langkahnya untuk ke tangga dikira. Sembilan... Sepuluh...
"Nanti!"
Kiraannya terhenti. Adra berdiri setempat tanpa berpaling.
"Aku tak tahu apa yang kau hadap... Tapi kalau ini satu-satunya cara untuk kembalikan benda tu semula, aku cabar kau. Kita bertanding."
Wajahnya membeku. "Apa yang aku cuba buat ni bukan untuk nama. Kau takkan faham!" Nada suaranya keras memberitahu.
"Kadang-kadang, bila kita nakkan sesuatu, kita kena berusaha untuk mendapatkannya. Tak kisahlah guna cara apa sekalipun." Ziyad akhirnya bersuara setelah sekian lama membisu.
Adra berpaling. Riak wajahnya berubah sebaik sahaja dia mengesan kelibat lelaki itu. Takkanlah...?
Sekumpulan pelajar itu mendekati Adra. “Akan ada pertandingan kecil tak lama lagi. Kau masih ada masa. Kau kena masuk untuk self-motivate.”
“And you need to practise a lot. Sebahagian orang mungkin meremehkan apa yang kitaorang buat, tapi hanya passion yang boleh tentukan kejayaan seseorang.”
“Plus attitude, dude.” Lelaki berkaca mata menambah.
“Yeah!” Mereka berhigh-five sambil diperhati Adra yang mula tersenyum sedikit. Dia nampak bintang.
💫
Julai 2008
"Keluarkan semua buku. Homework semalam letak atas meja!" Tegas suara itu memberi arahan. “Awak sedar tak tinggal berapa hari lagi nak SPM?”
Ziyad menghela nafas. Mesti angin semalam tak reda lagi. Hampir separuh dari kelas mereka didenda kerana gagal menulis karangan dengan baik. Homework? Dia ada beri homework ke semalam? Tangan meraba bawah meja. Buku coklat panjang itu dikeluarkan dan diselak sekali lalu.
Damn! Tertinggal lagi. Tapi wajahnya masih beriak selamba seolah-olah tiada apa yang perlu dirisaukan. Macam dah tertulis di dahi yang dia memang muka tak siap kerja dan itu perkara biasa.
"Ziyad? Tak siap lagi?" Suara itu memetir. “Origami tu takkan tolong awak...”
Ziyad memekakkan telinga. Lagi satu-satunya benda yang dia minat itu disentuh. Apa masalahnya kalau dia suka origami sekalipun? Kepala dah membayang akan disuruh bersidai di koridor dalam masa sepuluh saat selain akan dirotan yang pastinya berbirat. Tapi ada satu keajaiban berlaku. Kerja sekolahnya siap dengan tulisan yang sangat kemas! Matanya membulat. Bila masa...
Guru Bahasa Melayu itu turut sama terkejut. “Tulisan ni...” Wanita separuh abad itu tergamam.
“Tulisan saya.” Dan sungguh Ziyad tak menipu. Itu memang tulisannya satu masa dulu!
Keajaiban, dari mana dia datang?
💫
April 2014
Kelihatan kain rentang berwarna merah dihiasi bintang-bintang dalam balang kaca digantung pada dinding sebuah cafe.
‘Meet and Greet Adra Latiff, penulis buku NIA’
“Saya berpendapat buku yang ada nilai kenegaraan, budaya tempatan, unsur-unsur kemelayuan, sejarah, bawa nilai Malaysia dan berjaya potret kan kehidupan rakyat marhaen dengan isu semasa is an interesting plot, a rich theme of books tak kira la sastera tradisional ataupun penulisan kreatif moden. Lebih baik kalau nilai tu ada pada buku-buku arus perdana sebab itulah apa yang diperlukan anak muda sekarang. Dan kalau boleh, saya nak jadi sebahagian dari itu. I want to create history, with my own hand and mind, by my passion.” Adra tersenyum manis.
Seorang perempuan muda yang memakai selendang berwarna coklat mengangkat tangan. “Kenapa kak Adra memilih tema rakyat marhaen sebab zaman sekarang kan banyak penulis popular dengan cerita orang kaya yang ada perniagaan juta-juta.” Gamat seketika kafe kecil itu.
Adra menyambut dengan tawa halus. “Thank you, pretty. Cerita bertemakan rakyat marhaen is something yang promising bagi saya, sebab setiap orang itu berbeza dan perlu diraikan. Kejayaan itu bukanlah datang apabila kita mampu mempamerkan kekayaan, tapi usaha keras.”
“Bintang mesti satu simbolik yang bermakna untuk Adra, kan?”
Adra tersenyum lalu mengangguk. “Dari zaman-berzaman lagi bintang bawa peranan yang sangat besar dalam kehidupan manusia. Contohnya sebagai panduan untuk nelayan di laut, penerang dan menghias langit. Bagi saya ilmu astronomi sangat menarik untuk dikongsi bersama masyarakat.”
“Boleh kami tahu kalau Kak Ad ada perancangan untuk menulis buku baru?”
Adra mengangguk pantas yang disambut dengan tepukan gemuruh. “Ada. Dah dalam proses penilaian dah pun. Doakan semuanya dipermudahkan. Dan saya namakan karya terbaru saya sebagai ‘ZIYAD’.”
“It’s you, kan? Kau yang buat kerja sekolah aku. Macamana...”
“Macamana aku tahu tulisan kau?” Tebak Adra pantas, dan sahutan bisu itu mengiyakan segalanya. “Kita satu sekolah dulu. Kau antara pelajar cemerlang yang jadi kebanggaan semua orang. Kau ajar aku origami waktu aku rasa bersalah sangat dengan Nia bila aku tak ada waktu dia sakit dan meninggal. Aku tak datang pun waktu dia telefon aku sebab aku pergi bercuti. Macamana aku boleh panggil diri aku kawan waktu tu? Tapi aku berjaya hadap semua tu sampai masuk pertandingan. Kita berjaya buktikan dengan semua orang yang kita bernilai. Aku nak kau cari balik benda tu sebab ianya tak pernah hilang.” Adra berpaling memandang Ziyad.
“Benda apa?” Hampir sahaja perkataan itu tidak terluah dari mulut.
“Maafkan diri sendiri, dan teruskan hidup baik-baik. Kau yang ajar aku teknik teliti dalam setiap lipatan kertas, remember? Aku yakin kalau mak kau hidup lagi, dia nak tengok kau berjaya.”
“Boleh saya tahu siapa Ziyad ni Kak Adra? Dari mana akak dapat inspirasi?”
“Daripada seorang kawan baik. Baiklah, kita sambung sesi pertanyaan selepas ni. Tapi sebelum tu, kita belajar buat origami dulu. Nak tak?”
“Nak!” Dan sahutan itu betul-betul membuatkan Adra gembira. Impian awak tercapai, Nia.
“Tiap kali awak teringatkan saya, berdoa dan tengoklah langit. Semuanya tinggal kenangan tapi persahabatan kita selamanya kekal.”