Cerita Pendek 2020

Just an excerpt of stories without the ending, even the tittle have been forgotten….

Bagi mineral lut sinar hijau pucat itu, kita semua adalah bunga matahari keemasan yang bersinar dari dalam. Sedangkan pada aku, manusia umpama bunga liar tanpa dihiasi material. Sekuat manapun angin dan badai menggoncang dunia, bunga liar akan kekal kuat, unik dan tumbuh dengan baik meski dikelilingi ros merah atau timbunan sampah. Kerana perjalanan manusia adalah berbeza, tetapi layak mendapat pengakhiran yang baik. Sungguhpun berbeza pendapat, Beril tetap seorang sahabat yang Nawal hormati selama mana dia bernafas.
 
Beril itu, jauh berbeza dari sekumpulan manusia bertopeng yang sedang lalu lalang di hadapan matanya kini. Mereka semua tidak penting, tujuannya menunjukkan muka malam itu bersebab. Bukan untuk menjejak kasih sesiapa.

Nafasnya seakan tertahan apabila pintu tinggi mencecah syiling itu terbuka secara automatik menjemputnya masuk selepas mengimbas Quick Response Code yang tersedia. Nawal melangkah masuk sebelum berdiri betul-betul di bawah lampu chandelier mewah yang tergantung tinggi. Jantung berdegup kencang dengan tapak tangan berpeluh. Tetamu yang membanjiri dewan membentuk beberapa bulatan berbual sesama mereka di tengah ruang mengalihkan tumpuan untuk melihat empunya badan yang baru tiba tepat lima minit sebelum majlis bermula.

“Siapa?” Satu suara asing bertanya.

Beberapa pasang mata yang memandang merenungnya tidak berkelip. Masa seakan berhenti berdetik, Nawal nampak mata-mata itu membulat memerhatikan dirinya yang sedang tersenyum kekok umpama wanita dalam lakaran potret yang penuh dengan keindahan klasik.

“Serius la.” Haziqah ketawa tidak percaya. Ilham yang berdiri tidak jauh dari situ berpaling dengan senyuman yang masih meniti di bibir selepas mengusik anak kecil salah seorang kenalan. Dia kelihatan terpegun.

Nawal membetulkan postur badan yang disarung baju kurung Pahang moden bewarna biru gelap dihiasi lace dipadan selendang bewarna sedondon. Dengan riak wajah tenang, dia bergelut mengimbangkan badan agar tidak terjelepok jatuh bersama kasut bertumit yang dipinjam dari Beril. Kakinya sudah mula lenguh. Dia tidak tahu pula hall itu jauh dari pintu masuk utama.

Nak tegur siapa dulu ni? Dia bukannya rapat dengan sesiapa pun. Nawal cemas sendiri apabila dewan masih senyap tersampuk. Aku pakai baju terbalik ke? Matanya segera menangkap kelibat lelaki tinggi lampai yang berdiri tidak jauh dari situ. Terus dia melangkah ke arah figura itu tanpa berfikir panjang. Nampaknya misi pada malam itu akan berakhir lebih awal. 

Syukurlah dia ada.

“Hi.” Nawal menegur Ilham yang masih terpaku memegang gelas kaca. Gadis yang sudah bertahun tidak ditemui itu berubah banyak. Dari topi Puma berwarna hitam yang tak pernah lepas dari kepala, kemeja gedabak penuh angin dan sneakers putih, kini menjadi seseorang yang membawa pesona berbeza. 

Ilham membalas senyuman itu dengan ikhlas. Jemari tangan kiri di masukkan ke dalam poket seluar. “Where have you been?”

“Ah, I was reading some sheet music.” Jawab Nawal spontan.

Ilham ketawa bersahaja, memecahkan tembok bisu. Alunan muzik dari piano semakin jelas kedengaran di telinga. Suasana berubah seperti sediakala. “You are safe and sound, then.”

👡

Bunyi lagaan sudu dan garpu memenuhi ruang, diselangi gelak ketawa ahlinya. Pengalaman dan ilmu dikongsi sesama mereka dengan ekspresi wajah yang ceria. Rindu mereka terubat, tapi tidak buat Nawal. Orang yang dia rindukan tidak ada di situ, dan mungkin selamanya takkan muncul. Berharapkah dia? Tiada jawapan untuk soalan itu.

Sejak tadi hidung menghirup aroma masakan yang menyeksa perut. Meja dipenuhi dengan hidangan utama yang pelbagai. Dari masakan-masakan Melayu yang mewah rasa, mapo tofu, okra bersambal, salmon carpaccio ke tex mex chef salad yang menggiurkan, Nawal memilih Aglio Olio udang pedas kerana pinggannya yang bersaiz lebih kecil. Dia mahu segera pergi dari situ.

Banyak perkara sudah berubah ketika tahun berganti tahun. Mereka sempat memberi penghormatan kepada rakan sekelas yang sudah meninggal dunia sebelum menikmati makan malam. Baginya, itu jauh lebih menginsafkan dan memberi peringatan bahawa dunia ini bersifat sementara, tentang masa yang tidak sama. Rahsia Tuhan yang tersimpan rapi itu kadang dilupakan umat manusia yang diciptakan untuk beribadah kepadaNya kerana terlalu mengejar dunia. Dia tidak terkecuali.

Mata Nawal memerhati sekeliling, menangkap identiti individu yang masih melekat di ingatan. Dari cerita mereka, Farid sudah bergelar jurutera di sebuah syarikat yang tersenarai di bursa saham, Hakim seorang peguam, Aida yang satu masa dulu pendiam merupakan usahawan kosmetik berjaya, Syazwani dah beranak dua, Hazira seorang pereka terkenal, Atikah baru pulang ke Malaysia selepas mendapatkan segulung ijazah dari luar negara, dan... Haziqah dengan cerita trip keluar masuk negara.
 
Sedangkan dia? Cuba mengaburi mata mereka untuk menunjukkan dia turut sama berjaya dengan mengubah penampilan. Seminggu juga dia berlatih di hadapan cermin untuk kelihatan elegan dan meyakinkan, nampaknya tidak berhasil. Nafasnya semakin sesak, Nawal tenggelam dalam keramaian yang mempunyai masa depan yang menjanjikan. Air kosong diteguk senafas.

“Masa mula-mula aku nampak kau, sumpah aku tak sangka itu Nawal Hadi. Kau berubah banyak.” Atikah masih memandang gadis itu dengan pandangan tidak percaya. “Cepat betul masa berlalu.” Belum sempat Nawal menjawab, Haziqah menyampuk dulu.

“Berubah apanya, dia masih sama.” Masih pucat dan menyedihkan. Haziqah berbisik perlahan sambil memasukkan anggur ke dalam mulut.

“Eh, lain la. She’s even wear high heels.” Atikah menunjuk Charles & Keith strappy wedges bewarna putih yang tersarung di kaki Nawal.

“Tu wedges.” Haziqah menjulingkan mata ke atas.

“Kau masih keep in touch dengan Ilham ke?” Fazira mengubah topik.

“Eh, tak juga. Aku tegur dia sebab kebetulan dia ada dekat depan pintu masa tu.”

“Oh. Dalam kita ramai-ramai ni, aku rasa dia yang paling berjaya. Dia salah seorang innovator penting dalam projek Rintis. In facts, dia yang keluarkan idea tu.”

Dunia masih tidak berubah. Kejayaan tetap diukur dengan luaran dan material. Atau itu hanya mentera untuk menyedapkan hati sendiri, Nawal? Kerana kau tidak berjaya menyelitkan diri dalam kelompok itu? Baginya definisi bahagia setiap orang berbeza. Dia cuma... mahu menjadi lebih baik.

“Projek Rintis yang dapat dana besar dari kerajaan tu?” Satu suara bertanya kagum. Berita tentang projek itu hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini kerana dijamin boleh mengurangkan peratus graduan yang menganggur.

Kamalia mengangguk mengiyakan. “Dia sebenarnya baru balik dari mesyuarat di Kuala Lumpur sebelum terus ke sini.”

“Dia dah jadi antara harapan negara sekarang. Haih, he is exceptionally charming.” Syahirunisa mengalihkan pandangan ke arah Nawal. “Kau tak tahu, Nawal?”

“Tak. Aku tegur ‘orang besar’ rupanya.” Nawal ketawa kecil, menyembunyikan penipuan. Hakikatnya dia lebih tahu dari mereka semua. Itu tujuan utama mengapa dia sanggup menghadirkan diri ke majlis reunion yang tak pernah terlintas di fikiran malam itu. 

Tapi mana dia? Sebaik saja teguran ringkas itu berakhir, Atikah terus menangkap lengannya dan menarik tubuh langsing itu ke meja bulat yang dipenuhi rakan sekelas perempuan yang lain. Mereka nampak teruja menegur Nawal. Bayangan Ilham terus hilang di celah banjiran tetamu.

“Oh, ya.” Seulas bibir itu menarik senyuman yang mengerikan. “Kau macamana, Nawal? Kau ada syarikat, kan? Dengar cerita syarikat kau dah nak muflis.” Dia sengaja memasang riak simpati. Nawal yang sedang meneguk fizzy strawberry itu membeku. 

Jeda yang membunuh. Suhu sekeliling bagaikan jatuh mendadak.

Ada perkara yang masih tidak luntur lagi rupanya; sifat keji manusia. Gelas kaca itu sengaja di hempas sedikit di atas permukaan meja sebelum sepasang mata bewarna hijau palsu itu ditentang berani. Haziqah kelihatan gugup, perbuatan gadis yang duduk di hadapannya itu tidak lagi dapat dibaca.

Nawal menggenggam penumbuk bawah meja. Selera makannya melayang. “Siapa yang cerita?” Riak wajah itu berubah dingin bertanya.

Haziqah ketawa plastik dengan riak wajah yang kelat. “Jangan la serius sangat. Aku tanya perkembangan aje. Kau dah la tak pernah berbunyi dalam group whatsapp.” Cepat-cepat gadis itu mencari alasan menyelamatkan diri dari renungan tajam mengalahkan pedang. “So you are making money la kan. Good for you.”

Nawal menarik nafas dalam-dalam. “Terima kasih sebab prihatin. Syarikat kecil aku masih beroperasi. Team aku keluarkan majalah digital kalau kau nak tahu.”

“Aku ada baca isu dua bulan lepas. Pasal kesultanan Pahang. Menarik. Aku tak tahu pula kau minat sejarah.” Fazira membuka mulut.

“Terima kasih.” Senyuman Nawal melebar. Entah penipuan atau apa itu, dia berasa lega. Sekurang-kurangnya dia tidak nampak terlalu kecundang. Walhal berapa sangat pembaca yang membeli majalah mereka sejak kebelakangan ini. 

“Aku kira kecenderungan individu berubah mengikut umur.” Haziqah yang sedang memasukkan mee ke dalam mulut itu di pandang sinis. Betul la money can’t buy class and happiness.

“Kau syaitan.” Tutur Nawal tenang, memandang tepat ke arah Haziqah.

Haziqah sedikit tersentak. Napkin di bawa ke mulut. “Excuse me?” 

“Tu isu utama majalah aku bulan ni. Sengaja buat edisi istimewa untuk tarik pembaca genre horror. Aku boleh bagi percuma kalau nak baca.” Tuturnya polos. Nawal menghabiskan titisan terakhir air buah buahan itu selamba. Dari hujung mata, dia nampak beberapa bekas rakan sekelasnya menahan ketawa. Ada yang mengangkat kening tanda puas hati.

“Menjijikkan.” Haziqah mencebik sendiri memeluk tubuh.

+

Hi. I wrote this during MCO. Take care.


Comments

Popular Posts