In the name of Allah, the most Gracious, the most Merciful
EVERY DELAY THERE IS
KINDNESS
Kuyucak, tahun 1960.
Pada zaman dahulu, tinggal seorang lelaki separuh abad bersama anak lelakinya dalam perkampungan kecil yang terletak di Isparta, Turki. Rumah kayu yang didiami keluarga kecil itu dikelilingi tanaman gandum bewarna keemasan. Kejiranan di kampung itu boleh dikira dengan jari namun mereka tetap bersatu hati bekerja di bawah terik mentari. Sekam yang diperoleh hasil daripada gandum itu dipisahkan, dihancurkan lalu dijadikan bran. Selain menghasilkan jerami, gandum ditanam untuk tanaman ragut bagi ternakan lembu dan itik yang diternak orang kampung.
Bagi anak kecil itu, tiada apa yang lebih membahagiakan selain ayah yang penyayang, kehangatan matahari dan sekali lagi, air tangan ayahnya walaupun anak kecil itu tidak pernah meluahkan rasa kagumnya menikmati masakan pemilik sepasang mata Hazel yang sering kepenatan namun tidak lelah tersenyum. Dia dibesarkan dengan cara sebegitu, rasa sayang dibuktikan dengan perbuatan.
Tapi anak muda itu tidak khawatir. Kerana dia tahu, ayah tahu.
🌾
Bijiran gandum yang digunakan untuk menghasilkan tepung sudah menjadi makanan ruji masyarakat di situ. Setiap pagi, ayah akan menguak langsir yang dikait arwah ibu lalu menghidupkan muzik kegemarannya. Bijirin barli yang sudah menjadi tepung kasar dibakar secara terus di atas api tanpa yis, lalu dijadikan roti ketika sarapan.
“Macam roti pita bersaiz kecil.” Kata anak lelaki itu membuatkan si ayah tersenyum.
“Sedap?”
Si anak hanya mengangguk sebelum menggigit roti itu perlahan. Gigi susunya terbenam. Menemen yang merupakan telur yang dimasak dengan tomato lalu dicampur dengan pelbagai pilihan daging awet yang terpapar di dada akhbar di atas meja hanya dipandang sepi. Roti dalam pegangannya itu dikunyah lagi, penuh selera.
Setiap petang, anak lelaki itu akan memerhati itik-itik yang berkeliaran di halaman rumahnya sambil menikmati teh hangat. Dia sentiasa berdoa kepada Tuhan agar dikurniakan seorang sahabat untuk menemaninya menyaksikan matahari terbenam. Anak kecil itu tertanya-tanya, bagaimana rasanya menikmati gunung yang disirami sirap itu berdua dengan seseorang yang menyenangkan.
🌄
Akibat kemarau panjang, tanaman bijian yang diusahakan sekian lama itu mati membuatkan keluarga kecil itu menghadapi krisis kewangan. Kerana ketiadaan bekalan ubat, tahap kesihatan si ayah semakin merosot sehinggalah anak lelaki yang dinamakan Firas itu ditinggalkan pada satu malam yang hangat, sehangat pelukan terakhir ayah waktu itu.
Kehidupan Firas berubah tiga ratus enam puluh darjah. Itik yang berkejaran sudah masuk ke dalam ruang tamu hanya dipandang kosong.
“Ayah, Firas lupa bagitahu ayah. Roti yang ayah buat... sangat sedap.” Air matanya jatuh. Firas terduduk di atas lantai. Sakit menanggung rindu yang dirasakan itu terlalu mencengkam, anak lelaki itu hanya mahu mati.
Di satu malam yang serba dingin ketika pertukaran musim bunga kepada musim sejuk, Firas teringat akan perbualannya dengan ayah pada malam terakhir dia menatap wajah tenang itu.
“Allah test those whom He love. When Allah desire good for someone, He tries him with hardships.”
Sudahnya Firas tertidur dengan mata yang basah.
🏠
Senja itu, Firas sekali lagi berjalan dengan malas, menghalau anak-anak itik yang sudah memanjat meja kopi sebelum dia terpandang sebuah rumah campuran batu dan kayu tidak jauh dari rumahnya itu bercahaya, setelah sekian lama.
Rumah itu sebenarnya sudah didirikan sejak tahun 1920-an dan dikelilingi pokok buah-buahan, zaitun, aprikot dan segala nikmat dunia. Firas terkaku apabila melihat seorang gadis yang memakai gaun merah jambu dari tingkap rumah di seberang sana melambai mesra ke arahnya. Angkara terkejut, tingkap rumahnya segera ditutup. Bunyi riuh yang datang dari rumah bewarna jingga itu membingitkan telinga yang cemburu.
Firas menghabiskan banyak masanya dengan membaca buku, mengusahakan ladang gandum yang satu masa pernah dielak dari dijejaki serta menjual telur itik di pasar. Ayah sukakan musim panas, lantas menganyam rindu yang membuak. Anak muda itu sedar bahawa dia semakin kuat, lebih dari yang dia sangkakan. Sesekali dia mencuri pandang ke arah rumah kayu-batu di seberang lautan emas.
Dari jauh, kelihatan seorang gadis sedang termenung menghadap gunung yang disiram sirap. Pemandangan jauh lebih cantik dari situ kerana dekat dengan laut biru. Gadis itu berpaling ke arahnya, lantas langsir bewarna biru gelap itu ditarik sehingga tercarik. Firas mendecit melihat langsir yang sudah koyak.
Dunia ini tidak adil, mereka yang sempurna akan tetap sempurna.
Tahun berganti tahun, Firas sudah membesar menjadi seorang anak muda yang tampan tetapi memiliki tatapan yang dingin. Sesekali dia bertembung dengan gadis itu di lorong ladang gandum tanpa bertegur sapa. Ketika keluar ke pekan mencari bahan asas untuk memasak, buat pertama kalinya, Firas merasakan dirinya bernyawa semula.
“Datuk bandar apa khabar?” Tanya pemilik kedai runcit itu, mesra. Untung sungguh anak muda yang berdiri dihadapannya kini dapat berjiran dengan ketua yang mengambil peduli nasib rakyat jelata. Tidak banyak, tempiasnya pasti terasa.
“Datuk bandar?” Tanya Firas kebingungan. “Siapa?”
Terus riak wajah lelaki separuh abad itu berubah. “Takkan jiran sendiri pun kamu tidak kenal? Satu kota mengenalinya.” Ketika dia bertemu dengan anak datuk bandar yang membeli benih anggur di kedainya, gadis itu mengatakan Firas mempunyai personaliti yang menyenangkan.
“Oh, saya ada berjumpa dengan dia beberapa kali. Dia seorang yang bekerja keras dan peramah.” Kata gadis itu sambil tersenyum. “Berapa harganya?”
Barang-barang yang dibeli Firas dimasukkan ke dalam beg kertas dengan kasar. Anak muda itu berjalan pulang dengan perasaan aneh yang dia sendiri sukar untuk gambarkan.
*
Bunyi ganjil memenuhi segenap ruang, memecahkan kesunyian yang rindu untuk menjerit. Firas berlari-lari anak dari dapur sebelum mengintai dari celah carikan langsir yang masih belum di baiki. Tetamu yang datang bersendirian itu membelakangkannya. Sebaik sahaja pintu dibuka, seorang gadis bermata hijau berpaling lalu tersenyum ramah sebelum menghulurkan Menemen dan madu dalam bekas yang berasingan.
“Untuk saya?”
“Ya.”
Huluran itu akhirnya bersambut. “Terima kasih.”
“Sama-sama. Awak... memasak?”
“Ah, ya.” Jawab Firas, sedikit segan. Pipinya bertukar warna merah jambu. Bau telur dadar pasti memenuhi segenap ruang ketika ini.
“Kalau awak perasan, kita selalu bertembung. Saya duduk di rumah itu.” Tunjuk gadis tadi ke arah bangunan bertentangan mereka yang hanya di pisahkan lautan bijirin keemasan.
Istana yang menghadap laut, datuk bandar kesayangan rakyat dan anak perempuan yang menjaga air mukanya? Oh. “Saya tahu. Kirimkan salam saya pada datuk bandar.” Ujar Firas penuh hormat, berkira-kira untuk menamatkan perbualan. Dia perlu segera kembali ke dapur. Air yang dijerang pasti sedang menggelegak.
“Kalau tidak keberatan, datanglah ke rumah kami malam ini. Awak boleh sampaikan salam pada ayah.”
“Baiklah, terima kasih.” Sebaik sahaja gadis itu berpaling usai mengucapkan selamat tinggal, akhirnya Firas teringatkan sesuatu.
Dia adalah gadis itu. Gadis bergaun merah jambu yang melambai lima tahun lalu!
*
Makan malam di rumah Datuk Bandar kota yang peramah itu disajikan di teres yang menghadap pergunungan yang biasanya diselimuti salju tebal apabila musim sejuk menyapa. Kehadirannya disambut hangat dengan anggur yang ditanam pemilik rumah itu, selain mempunyai sarang lebah, ayam, merpati angsa dan kambing.
Sebelum pulang, anak gadis datuk bandar menghulurkan sesuatu.
“Bunga?” Tanya Firas pelik setelah melihat dengan jelas objek asing bewarna ungu yang digenggam gadis itu.
“Lavender.”
“Lavender?” Sebaris perkataan itu kedengaran asing, namun mengasyikkan.
“Ya, kami sekeluarga baru pulang dari Provence, Perancis atas urusan kerja ayah. Saya tidak pernah melihat tanaman ini di kampung kita, jadi saya bawa pulang.”
“Cantik.” Puji Firas yang seakan terpegun, ikhlas. “Bagaimana tumbuhan ini membesar di sana? Macam gandum juga?” Huluran itu disambut. Lembut, wangi dan menenangkan.
“Awak tanam, dan lihatlah sendiri.” Putus gadis itu, sengaja membuatkan Firas tertanya-tanya.
Langkah Firas terhenti. Di tengah ladang gandum, lelaki itu khusyuk memerhati berbekalkan suluhan bintang yang berterabur di dada langit. Tiba-tiba memori lama yang terdaftar di kepala menyapa. Ayah pernah bercerita tentang bunga ini!
*
“Di Sepanyol, tumbuh sejenis tumbuhan tahunan pada musim panas yang gagah walaupun cantik.” Cerita ayah sambil merenung bulan yang bersinar terang dari tingkap.
“Kenapa dia perempuan yang gagah, ayah?”
“Sebab dia mampu hidup mekar di kawasan yang tidak terlalu banyak air dan batu-batu. Tingginya boleh mencecah satu meter. Bentuknya semacam lalang yang semak, tapi di atasnya ada bunga kecil bewarna ungu kebiru-biruan, membuatkan bunga itu istimewa. Dan baunya sangat wangi. Cukup wangi sehingga mampu menidurkan bayi yang meragam.”
“Wah, apa nama bunga tu ayah? Ada di Turki?” Mata bundar itu membulat teruja.
“Belum pernah ada, tapi satu masa nanti pasti akan di bawa pulang.” Mata itu terpejam rapat.
“Sayangnya, ayah lupa nama dia. Satu hari nanti, ayah akan bawa Firas tengok bunga tu sendiri.”
Malam itu, Firas tidur dengan senyuman di bibir sepanjang lena lalu bermimpi tentang ladang gandum, bezanya warna keemasan itu bertukar ungu bergemerlapan! Rasa jemu kini hilang.
“Lavender. Nama dia lavender, ayah.” Bisik Firas lembut. Dia akhirnya berasa lengkap.
*
‘Berkat yang datang dari si Ungu, Lavender.’
Sejak menanam lavender buat pertama kalinya, musim panas selepas musim bunga adalah musim yang paling di tunggu penduduk kampung. Benih bunga-bunga lavender yang dibeli Firas dari Itali itu dihadiahkan kepada jiran-jirannya yang juga sahabat ayah lalu di tanam oleh mereka. Pemberiannya itu dibalas dengan pelukan.
Tahun 1980
Kampung Kuyucak sedang bertukar warna, dari merah muda kepada ungu- biru lalu hidup dengan mekar. Jika dulu kampung itu hanya di diami masyarakat setempat, kini wajah-wajah asing yang ceria mengambil gambar dapat di lihat melata. Kebanyakan mereka datang dari Asia dan Eropah. Selain memastikan ladang lavender terjaga, Firas juga menjadi tour guide pelancong dan jurugambar pra-perkahwinan.
Anak datuk bandar pula membuka kedai kosmetik dan kecantikan bagi membiayai kos rawatan memulihkan kanser yang dihidapinya. Losyen, aromaterapi, minyak wangi, minyak terapi, peralatan mandian, ubat-ubatan sehingga teh yang 100% herba dari lavender tanpa bahan kimia yang berlebihan memenuhi rak kedai dua tingkat itu.
Ekonomi masyarakat setempat juga semakin bertambah baik. Hasil lavender di jual pada harga 15 TL per kilogram, malah dijual ke seluruh kota Turki dan di eksport ke serata dunia. Penduduk kampung seramai 300 orang itu sudah mempunyai ladang lavender sendiri selain mengusahakan 3000 rumah lebah bagi mengeluarkan produk madu lavender.
“Teh lavender awak.” Gadis itu meletakkan kotak sederhana besar itu di atas kaunter ketika Firas datang mengunjunginya petang itu.
“Jiji.”
“Ya?”
“Terima kasih.” Firas merenung sepasang mata hijau itu lembut. “Untuk segalanya.”
Gadis itu tersenyum. “Jangan berterima kasih dengan saya, berterima kasihlah pada Tuhan.” Mereka berpaling ke arah pintu masuk apabila loceng berbunyi. Kelihatan pelancong- pelancong dari Malaysia memenuhi ruang kecil kedai itu. Jiji tersenyum ramah. “Enjoy your tea, saya nak sambut mereka.”
*
“Selamat datang ke Turki! Ada apa yang boleh saya bantu?” Tanya Jiji penuh semangat dan mesra.
Firas menarik nafas dalam-dalam, menghidu bau lavender yang tidak pernah muak, malah membahagiakan.
Dulu, dia pernah menganggap dunia ini tidak adil, tetapi hanya dengan beberapa tahun dipinjam Tuhan yang satu masa lalu minta ditamatkan, Firas sedar akan hakikat bahawa sesungguhnya, Tuhan itu Maha Adil. Every delay, there is kindness! Lalu, mengapa dia perlu risau dan bersedih? Mulut cawan yang berasap nipis itu di bawa ke bibir dengan mata yang bercahaya terang.
I pray for the day where we will all be able to share our good news with no fear of jealousy and hatred, but only well-wishes, and congratulatory hugs and prayers. But till that day comes, we have to keep on cleaning our hearts and work on our level of Gratitude.
Because if we don't, we will never be happy. ~Aida Azlin
THE END
I wrote this short story in one sitting as a birthday present for my mom and my friend during MCO. I want to share with you too :)) You may wonder, why Firas and Jiji? 😂 Idk, I just like that name. Its pretty cool haha.
Comments